Wednesday, June 15, 2011

Kambing anda Selsema? Batuk? Susah bernafas?

Kemungkinan besar kambing anda mendapat pneumonia!!



Apakah itu ‘Pneumonia’?
Apabila bakteria, virus atau kulat (fungus) masuk ke paru-paru, kuman ini biasanya menetap di kantung udara paru-paru, di mana di situ mereka berkembang biak. Kawasan paru-paru yang dijangkiti kuman ini akan dipenuhi dengan cairan dan nanah, sebagai satu cara tubuh untuk melawan jangkitan. Jika tidak dirawat, nanah yang terbentuk di kawasan paru-paru ini boleh menyebabkan pendarahan. Walaubagaimanapun, rawatan antibiotik dapat mengurangkan bahaya ini.

‘Acute respiratory distress’ (‘Gangguan pernafasan akut’) adalah keadaan khusus di mana paru-paru tidak berfungsi dan kandungan oksigen di dalam tubuh sangat berkurangan, sehingga boleh mengancam nyawa. Kegagalan pernafasan boleh berlaku jika pneumonia mengakibatkan perubahan mekanikal di dalam paru-paru (disebut kegagalan ventilasi) atau kekurangan oksigen yang keterlaluan dalam pembuluh darah (arteri)-(juga disebut sebagai kegagalan pernafasan hypoxemic.

‘Bakteremia’ (bakteria dalam darah) adalah komplikasi yang paling biasa terjadi akibat daripada jangkitan bakteria pneumococcus, namun jangkitan ini jarang tersebar ke bahagian lain.. Bakteremia juga merupakan komplikasi yang sering terjadi akibat jangkitan organisma bakteria gram-negatif yang lain. Bagaimanapun, terdapat kes-kes yang jarang berlaku di mana jangkitan mungkin merebak dari paru-paru ke jantung dan organ-organ lain yang boleh menyebabkan pembentukan nanah di bahagian tersebut, contohnya di otak.

Pneumonia adalah penyakit yang sangat biasa berlaku pada kambing, teruatama sekali pada anak kambing.

Punca-punca Utama Pneumonia:

Terdapat tiga jenis kuman yang menyebabkan pneumonia iaitu:
- Bakteria
- Virus
- Parasit

Faktor-faktor yang menyebabkan tekanan (‘stress’) kepada kambing turut menyumbang kepada masalah pneumonia, seperti:
- tahap kelembapan yang tinggi
- kawasan tertutup
- perubahan cuaca yang drastik
- perubahan persekitaran,
- perubahan makanan,
- melahirkan anak kambing
- pengudaraan yang tidak cukup
- tempat tidur yang lembab dan berhabuk

Tanda-tanda Gejala Pneumonia:
1. Berat badan menurun.
2. Batuk
3. Selsema / hingus
4. Demam
5.Sukar bernafas
6. Pernafasan berbunyi (‘wheezing’)
7. Hilang selera makan
9. Cirit-birit.



Pilihan Rawatan:
Jangan bertangguh dalam memberi rawatan kepada kambing yang disyaki dijangkiti pneumonia. Rawatan awal dapat mengurangkan komplikasi dan risiko kematian. Terdapat beberapa ubat atau rawatan yang berbeza, bergantung kepada jenis jangkitan kuman pneumonia itu.

Sekiranya anda belum mendapatkan diagnosis daripada doktor veterinar, dan mahu merawat kambing anda sendiri, anda diingatkan bahawa waktu yang diperlukan untuk melihat keberkesanan ubat yang diberi adalah dalam masa 2 hari selepas rawatan diberikan. Sekiranya kambing anda tidak beransur pulih dalam tempoh tersebut, cuba gunakan jenis ubat yang lain.

1. Pneumonia yang disebabkan oleh Bakteria:
* Rawatan antibiotik yang boleh digunakan adalah seperti Tylan200, Nuflor, LA-200, penicillin, tetracycline, Albon, dan Gallimycin. Pengkulturan bakcteria dan ujian sensitiviti terhadap antibiotik adalah disarankan untuk memastikan rawatan yang berkesan diberikan.

2. Pneumonia yang disebabkan oleh Virus:
* Antibiotik tidak akan berkesan dalam merawat pneumonia yang disebakan oleh jangkitan virus, melainkan pneumonia tersebut telah melarat dan mendapat jangkitan pneumonia sekunder. Rawatan untuk pneumonia yang berpunca daripada virus tidak bertujuan untuk membunuh virus tersebut (sepertimana pneumonia yang disebabkan bakteria), sebaliknya rawatan hanya untuk mengurangkan simptom-simptom pneumonia. Rawatan yang boleh diberikan termasuklah memberikan cecair dan elektrolit, ubat anti-radang (Banamine) dan juga anti-histamin seperti Benadryl.

3. Pneumonia yang disebabkan oleh Parasit:
* Dalam kes dimana pneumonia yang disebabkan oleh bakteria tetapi tidak dirawat atau tidak mendapat rawatan yang betul, kambing tersebut boleh dijangkiti pula dengan parasit seperti cacing paru-paru (lungworm), keadaan yang dipanggil jangkitan pneumonia sekunder. Ivermectin and Valbazen adalah dua jenis ubat yang berkesan untuk rawatan pneumonia disebabkan oleh lungworm (parasit).

** Perhatian: Jangan beri Valbazen kepada kambing betina yang mengandung.


Radang Paru-paru Interstitial (Interstitial Pneumonia): Salah Faham.
Radang paru-paru interstitial (interstitial pneumonia) adalah jenis pneumonia yang paling berbahaya dan boleh membawa maut – 75 kes maut dalam 100 kes interstitial pneumonia (75%).

Biasanya, kita diberitahu bahawa pneumonia jenis ini tidak dapat dikenalpasti sehinggalah binatang ternakan itu mati mengejut. Ini adalah maklumat yang salah.
Sebelum pergi dengan lebih jauh, kita perlu tahu apa itu radang paru-paru interstitial (interstitial pneumonia).

Definisi Intersitial: Berkaitan dengan atau terletak dalam, ruangan-ruangan kecil yang sempit di antara rangkaian atau bahagian sesuatu organ.
Radang paru-paru interstitial adalah istilah umum yang merangkumi pelbagai jenis penyakit paru-paru kronik. Paru-paru boleh mendapat radang interstitial dengan tiga cara.

Pertama, tisu paru-paru telah rosak disebabkan oleh punca yang diketahui ataupun tidak diketahui.

Kedua, dinding kantung udara (airsacs) di dalam paru-paru mengalami keradangan.

Ketiga, parut (fibrosis) yang terjadi pada tisu kantung udara paru-paru (‘interstitium’) disebabkan oleh kecederaan atau keradangan terdahulu, lalu menyebabkan paru-paru berparut seterusnya menjadi keras dan tidak anjal.

Apabila kantung udara keras, maka tiada pertukaran oksigen akan berlaku antara darah dan paru-paru, akhirnya kambing tersebut akan mati.





Ditulis oleh:
Shazila Shamsuddin- pelajar Cyberjaya University College of Medical Sciences

Disemak oleh:
Dr. Azlan Shah Abdul Ghani - Dr. Veterinar

10 comments: